Saturday, 6 January 2018

MINGGU KE 11

 Assalamualaikum  dan salam sejahtera kepada pembaca blog Ladang Hijau Cikgu KH

Minggu 11 : Penyediaaan Tapak Sempena Program Asas Perladangan
       
            Terlebih dahulu saya ingin memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan keizinanNya kumpulan Ladang Hijau Cikgu Kemahiran Hidup ditugaskan untuk membantu Unit Pertanian Universiti Teknologi Malaysia, Skudai dalam meyediakan tapak sempena Program Asas Perladangan. Sehubungan dengan itu, semua pelajar tahun 1 yang mengambil kursus  Pengurusan dan Pembiakan Tanaman diarahkan  bergotong-royong bagi membersihkan kawasan-kawasan yang dijadikan tapak Program Asas Perladangan. Antara kawasan yang difokuskan ialah Landskap, Tempat Belajar, Rumah Hijau, dan kawasan-kawasan persekitaran ladang.

            Sebelum kerja-kerja pembersihan kawasan dijalankan, kami diarahkan berkumpul dan  untuk mendengar taklimat daripada pensyarah dan tenaga pengajar mengenai Penyediaan Tapak. Kami dipecahkan kepada 4 kumpulan mengikut kawasan-kawasan pembersihan yang ditetapkan. Setiap kumpulan dibekalkan alatan pembersihan yang berbeza mengikut kesesuaian kerja-kerja yang dilakukan di kawasan masing-masing. Tujuan pengagihan kumpulan dilakukan supaya aktiviti gotong-royong Penyediaaan Tapak untuk Program Asas Perladangan berjalan lancar mengikut tempoh yang ditetapkan.

            Kumpulan 1 dan Kumpulan 2 dikehendaki untuk membersihkan  kawasan Landskap. Hal ini demikian kerana Landskap merupakan salah satu kawasan yang berperanan untuk melaksanakan aktiviti atau latihan dalam kumpulan. Justeru, ahli-ahli Kumpulan 1 dan Kumpulan 2 perlu berganding bahu untuk menebas semak- samun, memesin rumput, membuang batu-bata yang tidak diperlukan supaya  kawasan Landskap kelihatan cantik dan selesa untuk melakukan aktiviti dalam kumpulan.
            Di samping itu, Kumpulan 3 dipertanggungjwabkan untuk membersihkan Tempat  Belajar yang  merupakan kawasan utama untuk  Program Asas Perladangan. Mereka dibekalkan Water Jack  untuk membasuh kerusi, meja, dan lantai. Kemudian , mereka perlu menyusun kerusi dengan sistematik dan mencukupi mengikut bilangan peserta yang telah dimaklumkan. Tujuannya adalah untuk membekalkan suasana yang selesa semasa Program Asas Perladangan berlangsung.

            Kawasan-kawasan sekitar ladang pula diamanahkan kepada Kumpulan 4 untuk dibersihkan. Sampah-sarap yang ditemui dikumpulkan di tempat pelupusan sampah untuk dibakar. Longkang yang tersumbat diselenggara supaya sistem pengairan longkang berjalan lancar.

            Setelah selesai pembersihan kawasan, kami bergerak ke kawasan batas tanaman untuk merumput dan menyiram. Sesi penyediaaan tapak untuk Program Asas Perladangan tamat pada jam 5 petang. 

No comments:

Post a Comment